Samaritan adalah nama sebuah agama kuno yang diamalkan oleh masyarakat Samaria. Mereka telah memisahkan agama tersebut dari agama Yahudi sekitar 2,000 tahun yang lalu.
Komuniti agama ini masih lagi wujud hingga sekarang. ‘Samaritan’ berasal daripada perkataan Ibrani, ‘Samerim’ yang bermaksud penjaga. Manakala ‘Samaritan’ pula adalah agama yang menjaga undang-undang Taurat. Ia juga dikenali sebagai agama Abrahamik yang berkait rapat dengan agama Yahudi. Mereka mendakwa agama mereka adalah ajaran Nabi Musa yang asli berbanding Yahudi.
Sejarah agama Samaritan agak panjang kerana mereka juga merupakan keturunan Ibrani dan agama mereka telah wujud sekian lama di Timur Tengah. Penganut Samaritan hidup di daerah tebing barat Palestin atau pergunungan Gerizim. Gunung Gerizim merupakan kiblat bagi penganut Samaritan.
Daerah itu merupakan tanah suci bagi masyarakat Samaritan kerana rumah ibadah mereka pernah didirikan di situ. Mereka percaya bahawa di Gunung Gerizim inilah lokasi Nabi Ibrahim melakukan ibadah korban. Bagi agama Yahudi pula, Jerusalem adalah tanah suci menurut mereka.
Sejarah
Menurut tradisi Samaritan, Gunung Gerizim adalah kawasan suci bagi bani Israel setelah Joshua (Yusha bin Nun) menakluk Kan’an dan membawa bersama suku bani Israel mendiami tanah tersebut. Kisah mengenai Gunung Gerizim ini boleh didapati melalui Perjanjian Lama yang juga berkait rapat dengan Nabi Musa AS.
Suatu ketika, Nabi Musa AS memerintahkan Joshua untuk mengumpulkan 12 suku bani Israel. Kemudiannya, mereka dipecahkan menjadi dua kumpulan; 6 bani Israel ditempatkan di puncak Gunung Gerizim yang dikenali ‘gunung rahmat’ dan sebahagian lagi ditempatkan di puncak Gunung Ebal yang dikenali sebagai ‘gunung laknat’.[1]
Penganut Samaritan mendakwa mereka juga salah satu daripada 12 suku bani Israel. Ini kerana mereka merupakan keturunan cucu Nabi Ya’kub melalui Nabi Yusuf. Nabi Yusuf mempunyai dua orang putera iaitu Efraim dan Manasye. Melalui keturunan inilah berkembangnya kaum Samaritan.[2]
Mereka berpecah dan terpisah daripada kaum Yahudi disebabkan pelbagai perkara. Ia bermula pada zaman imam Eli di kota Silo, Israel sebelum digantikan oleh Nabi Samuel sekitar tahun 722 SM. Perpecahan mereka tidak melibatkan perpecahan aliran atau pecahan ranting sahaja tetapi perpecahan itu telah mewujudkan sebuah anutan ortodoks dalam ajaran Nabi Musa.
Mereka menamakan agama tersebut sebagai ‘Samaritan’ bersempena golongan yang menjaga ajaran Taurat Musa. Tetapi, negara Israel tidak pernah mengiktiraf mereka sebagai agama dan status keagamaan mereka seakan-akan tidak diendahkan.
Menurut buku ‘The Samaritans The Earliest Jewish Sect: Their History’ menyatakan bahawa dalam sumber rujukan orang Yahudi juga mereka mengakui bahawa Samaritan merupakan keturunan Nabi Yusuf dan pada asalnya mereka dari keturunan bani Israel.[3] Mereka terus mendiami kawasan pergunungan Gerizim hingga sekarang.
Kepercayaan
Menurut kepercayaan Samaritan, hanya terdapat satu Tuhan sahaja yang dikenali sebagai ‘YHWH (Yahweh)’. Tuhan yang sama diiktiraf oleh para nabi Ibrani bermula Nabi Ibrahim hingga Nabi Musa. Mereka juga beriman bahawa Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Penganut Samaritan juga percaya bahawa Gunung Gerizim adalah sebuah tempat perlindungan yang telah dipilih oleh Allah khusus untuk bani Israel, bukan Jerusalem sepertimana kepercayaan penganut Yahudi. Mereka juga beriman kepada syurga, neraka serta yakin akan bangkitnya seorang rasul di akhir zaman bernama Taheb dikenali sebagai pemulih ajaran.
Taheb
Taheb merupakan seorang rasul sepertimana yang dinyatakan dalam Taurat, kitab Ulangan bab 18, ayat 15 dan 18. Ayat ini sudah dibahas oleh ramai ilmuan teologi dan ia sepadan dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW. Namun, golongan Samaritan menafikan perkara itu kerana menggangap Taheb dari kalangan mereka.
Comments