Hawa,
Sedarkah engkau sebelum datangnya sinar Islam, kita dizalimi, hak kita dicerobohi, kita ditanam hidup-hidup. Tiada penghormatan walau secebis daripada kaum Adam, tiada nilaian di mata Adam. Kita hanya sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Tapi kini apabila rahmat Islam menyelubungi alam apabila sinar Islam berkembang, darjat kita diangkat dan maruah kita terpelihara. Kita dihargai dan dipandang mulia dan mendapat tempat disisi Allah sehingga tiada sebaik-baik hiasan di dunia ini melainkan wanita solehah.
Wahai Hawa,
Kenapa engkau tidak menghargai nikmat iman dan Islam itu? Kenapa mesti engkau kaku dalam mentaati ajaran-Nya, kenapa masih segan mengamalkan isi kandungannya dan kenapa masih was was dalam mematuhi perintah-Nya? Wahai Hawa, Tangan yang mengoncangkan buaian bias mengoncang dunia, sedarlah Hawa engkau bisa mengoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat terdiri daripada soleh dan solehah. Engkau bisa menggegarkan dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan Islam di mata dunia. Tapi Hawa jangan sesekali engkau cuba menggoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu, dengan lenggok tubuhmu. Jangan engkau menghentak-hentak kakimu untuk menyatakan kehadiranmu. Jangan Hawa, jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum Adam yang bukan suamimu kerana aku kuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah tetapi memberi kegembiraan kepada syaitan, alat yang diekspoitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan Adam.
Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang soleh buat kedua-dua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau seorang ibu didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah.
Hawa,
Andai engkau belum berkahwin, jangan risau akan jodohmu, Ingatlah Hawa janji Tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan menggadaikan maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki. Jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki kerana engkau bukan memancing hatinya tetapi merangsang nafsunya. Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir daripada mata turun ke hati, dari senyuman membawa ke salam, daripada salam cenderung ke pertemuan dan daripada pertemuan… takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.
Hawa,
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa. Lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya. Lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuannya, kemanjaannya serta kemampuannya mengoncangkan iman mereka. Tetapi Hawa, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadiannya dan ad-dinnya. Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan pada syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta disebabkan dia tahu apa matlamat dalam sebuah hubungan antara lelaki dan wanita melalui perkahwinan.
Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu, jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu dan kuatkan pendirianmu. Andai kata ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah menyinari dan memenuhi jiwamu. Biarlah hanya cinta kedua ibu bapamu yang memberi kehangatan kebahagiaan buat dirimu. Cukuplah sekadar cinta adik-beradik serta kemuarga yang akan membahagiakan dirimu.
Hawa,
Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana kau akan memperoleh cinta dari insan yang juga mencintai Allah. Cintailah kedua-dua ibu bapamu kerana kau akan peroleh keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana tiada cinta selain cinta keluarga.
ANA UHIBBUKI FILLAH ABADAN ABADA
Damia Nabila
University Of Haifa
Comments